banner-about_0.jpg

Mei 3rd, 2017

Usaha bantu remaja miskin dapat lesen motosikal

Yusoff (kiri) diiringi Shahiruddin (kanan) menyampaikan lesen memandu dan topi keledar percuma kepada masyarakat Orang Asli.

RAUB - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperluaskan pemberian lesen kelas B2 iaitu lesen motosikal kepada golongan miskin bandar berumur 16 tahun ke atas melalui program My Prihatin supaya lebih ramai golongan tersebut dapat memiliki lesen.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPJ Malaysia, Datuk Yusoff Ayob berkata, seramai 350 individu berusia 16 tahun ke atas diberikan lesen tersebut semasa pelancarannya di Putrajaya dan Wilayah Persekutuan minggu lalu.

“Keutamaannya diberikan kepada mereka yang berdaftar dengan e-Kasih ataupun Baitulmal dengan hanya dikenakan bayaran RM100 sahaja tiap seorang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) peringkat Daerah Raub di sini, kelmarin.

Turut hadir sama Exco Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan Negeri Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin, Pengarah JPJ Pahang Datuk Mark Ujin dan Ketua Pegawai JPJ Daerah Raub Muhammad Fahmi Muhammad Daud.

Dalam pada itu, Yusoff berkata, pemberian lesen kelas B2 melalui Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) kepada mereka berusia 45 tahun ke atas termasuk warga emas dan Orang Asli berusia 21 tahun ke atas akan terus dilaksanakan supaya lebih ramai penunggang motosikal memiliki lesen yang sah.

Menurutnya, sejak program SKSJ dilaksanakan pada 2009, 270 siri telah diadakan dengan seramai 119,214 orang termasuk Orang Asli mendapat manfaat.

“Bagi negeri Pahang sahaja dari 2007 sehingga pertengahan April lalu, seramai 11,568 mendapat manfaat dan 382 orang darinya adalah dari daerah Raub.

“Melalui program SKSJ ini, ia memberi banyak manfaat kerana selain calon hanya dikenakan bayaran RM200 sahaja tiap seorang, mereka turut mendapat lain-lain faedah berbanding harga siling yang ditawarkan oleh pasaran  RM300 sehingga RM350,” katanya.

Menurutnya, dengan kadar bayaran murah itu ia dapat bantu penduduk luar bandar mengelakkan kos yang lebih tinggi.

Share in: