banner-about_0.jpg

September 29th, 2014

Pendapat ada menyatakan untuk mengenali sesebuah negara, harus kenali dahulu perlembagaan yang terdapat di dalamnya.  Ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan perlembagaan sebagai undang-undang yang menjadi benteng pertahanan negara. Namun, berapa ramai pula yang faham apa sebenarnya yang terkandung dalam perlembagaan negara?

Jawapan kepada persoalan ini mungkin boleh disimpulkan dengan pelbagai polemik yang wujud sejak kebelakangan ini, terutama kelantangan pelbagai pihak yang mempersoalkan perkara-perkara di dalam perlembagaan itu sendiri.

Isu raja-raja, pengasingan kuasa, hak asasi, darurat, fitnah, kehakiman, pilihan raya hingga kepada isu agama seperti kalimah Allah antara perkara yang banyak dibahas dan dipersoalkan masyarakat hari ini. Keadaan ini boleh mewujudkan suasana tidak aman apabila semakin ramai yang membaca dan memahami perlembagaan dalam tafsiran yang salah.

PENDIDIKAN DIPERSALAHKAN?

Sistem pendidikan sering dipersalahkan kerana kegagalan menerapkan semangat patriotisme, sahsiah diri serta kenegaraan dalam kalangan rakyat sehingga berlakunya perkara ini.  

Menyorot kembali sejarah pendidikan negara, topik ketatanegaraan, kenali Malaysia dan sejarah, nilai-nilai murni seperti adab sopan, saling menghormati, kehidupan berbilang bangsa pernah menjadi mata pelajaran lengkap di sekolah rendah satu ketika dahulu dalam mata pelajaran Sivik atau Tatarakyat. Ia bertujuan mendidik pelajar menjadi individu yang mempunyai jati diri dan sahsiah yang tinggi. Setelah mata pelajaran itu ditamatkan, pelajar hanya berpeluang mengenali kenegaraan dan perlembagaan melalui mata pelajaran Sejarah manakala pembentukan sahsiah dimasukkan dalam mata pelajaran Agama dan Moral.

Kini, banyak pendapat yang mahukan mata pelajaran itu dikembalikan malah ahli akademik bersuara mahukan topik Perlembagaan Persekutuan diperluaskan menjadi topik wajib di sekolah, universiti dan bukan hanya sekadar tempelan dalam mata pelajaran Sejarah. 

PENTINGNYA PERLEMBAGAAN

Bagi melahirkan rakyat yang faham mengenai undang-undang utama negara, ia harus dimulakan sejak sekolah rendah lagi.  Ketiadaan mata pelajaran Sivik atau Tatarakyat perlu diganti dengan penerapan yang lebih meluas tentang perlembagaan di dalam mata pelajaran yang berkaitan, demikian menurut tokoh akademik, yang juga Ketua Eksekutif Karyawan, Datuk Zainal Abidin Borhan.

Ia bertujuan memberi pemahaman khusus kepada rakyat selain meningkatkan semangat patriotisme serta mengelakkan polemik yang berterusan. Memasukkan topik perlembagaan di dalam mata pelajaran Sejarah semata-mata tidak mencukupi sebaliknya perlu dipermudahkan dengan mengambil komponen-komponen penting di dalam perlembagaan dengan memasukkannya ke dalam mata pelajaran tertentu seperti Bahasa Melayu, Kajian Tempatan, Moral mahupun Agama.

“Untuk menjadikan perlembagaan sebagai mata pelajaran khusus di peringkat sekolah rendah dan menengah mungkin tidak sesuai. Namun ia boleh dipermudahkan dengan mengambil kandungan dalam perlembagaan itu dan dimasukkan dalam topic mata pelajaran yang berkaitan mengikut tahap-tahap tertentu.  

“Begitu juga di peringkat universiti, yang perlu diperluaskan lagi topic perlembagaan ini agar mampu difahami sebaiknya," katanya kepada Bernama baru-baru ini. Pada masa kini di universiti, perlembagaan diajar sebagai mata pelajaran khusus dalam Fakulti Undang-undang, manakala untuk mata pelajaran umum, pelajar diwajibkan mengambil mata pelajaran Kenegaraan dan Ketamadunan yang di dalamnya turut dimasukkan mengenai perlembagaan. Sesuatu yang memalukan sekiranya rakyat tidak mempunyai ilmu mengenai perlembagaan negara terutama apabila semakin ramai mempersoalkan peruntukan yang termaktub di dalamnya, kata beliau.

"Apa yang perlu ditekankan sekarang ialah membawa topik perlembagaan ini hingga ke peringkat bawahan agar usaha merakyatkan perlembagaan dari usia muda dapat dilaksanakan," katanya.

FAHAMI PERLEMBAGAAN

Pensyarah Kuliah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz juga berpendapat pemahaman perlembagaan sepatutnya diterapkan sejak usia kanak-kanak. Kebanyakan negara luar telah mengamalkan pendekatan tersebut yang mana mereka didedahkan dengan sistem pentadbiran negara sejak di peringkat tadika lagi.

Katanya, pada peringkat awal, kanak-kanak boleh diperkenalkan dengan perkara asas di dalam negara seperti lagu kebangsaan, pemahaman tentang Rukun Negara dan mengenal raja serta pemimpin. Kemudian baharu dipertingkatkan pemahaman itu mengikut tahap pemikiran pelajar hingga ke peringkat universiti.

Tujuannya agar rakyat lebih memahami dan mendalami apa yang tersurat dan tersirat di dalam Perlembagaan yang menjadi satu tatacara kehidupan bagi semua peringkat sama ada di peringkat pimpinan, kakitangan awam mahupun rakyat yang meliputi hak serta tanggungjawab yang dipikul bersama.

"Kita mahukan masyarakat yang bukan sahaja faham perlembagaan tetapi juga sejarahnya. Kenapa sesuatu peruntukan itu diwujudkan. Pemimpin yang membuat polisi juga harus memahami apa yang tersirat di dalam perlembagaan supaya polisi itu menepati kehendak hitam putih perlembagaan serta semangatnya," katanya.

Peringkat pemimpin yang memegang kuasa perlu menjaga keluhuran perlembagaan supaya pindaan tidak dilakukan sewenang-wenangnya semata-mata untuk politik.

Tegasnya, perlembagaan adalah untuk rakyat, bangsa dan negara.

PERLEMBAGAAN DALAM BAHASA MUDAH

Walaupun perlembagaan yang ada adalah milik rakyat, namun tidak semua mampu memahami intipati yang terkandung di dalamnya. Peruntukan dan Bahasa undang-undang yang digunakan sukar untuk difahami kecuali bagi mereka yang mengkaji atau belajar undang-undang. Bagi rakyat biasa, mereka memerlukan penjelasan dalam bahasa yang mudah.

 Menurut Shamrahayu, lebih banyak buku perlu diterbitkan bagi memberi penjelasan apa yang terkandung di dalam perlembagaan menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh segenap lapisan masyarakat pada peringkat usia muda hingga dewasa.

Mengakui bukan sesuatu yang enteng namun beliau optimis ia boleh dilaksanakan dalam kalangan pensyarah dan pakar undang-undang perlembagaan untuk membawanya dekat kepada khalayak dengan pemahaman yang mudah.

"Mereka yang menghasilkan buku teks sekolah juga harus memainkan peranan bagi memasukkan topik-topik perlembagaan ke dalam mata pelajaran berkaitan.

"Guru-guru juga harus dilatih untuk memahami perlembagaan sebelum mereka mengajar. Kerana harus diingat perlembagaan tumbuhnya daripada sejarah yang berkait rapat dengan sosiologi, sistem kemasyarakatan hubungan kaum, antrapologi dan sistem politik," katanya.

ELAK SALAH TAFSIR

Banyak perkara yang dibangkitkan tentang perlembagaan hari ini disebabkan salah tafsir pemahaman mengenainya hingga menimbulkan kekeliruan, katanya.

Melihat perkembangan yang berlaku hari ini, ada pihak cuba meletakkan kebebasan bersuara melebihi soal kemoralan sedangkan moral itu dituntut dalam perlembagaan seperti dalam Perkara 10. 

"Kebebasan suara tidak boleh menjatuhkan kemoralan. Maknanya perlembagaan meletakkan kemoralan di kedudukan yang tinggi.

"Namun pihak tertentu menganggap prinsip kebebasan itu lebih penting dengan mengenepikan soal kemoralan," katanya.

Mengambil contoh tuntutan yang dibuat oleh Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Itu adalah suatu tindakan yang tidak wajar serta tidak menghormati perlembagaan, katanya.

Antara tuntutannya ialah kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama di negara ini.

"Kalau salah tafsir perlembagaan, ia bukan sahaja mencabar kepentingan majoriti tetapi juga kepentingan dan kedaulatan negara. Mereka sepatutnya tahu undang-undang antarabangsa seperti PBB tidak ada hak untuk memaksa kita meminda perlembagaan yang ada kerana ia dipersetujui ketika kita hendak mencapai kemerdekaan," katanya.

Ujarnya, kerana itu pemahaman dan penerimaan perlembagaan oleh setiap lapisan masyarakat penting dan caranya ialah dengan memahamkan rakyat tentang perlembagaan dan falsafah negara yang terkandung dalam Rukun Negara.

"Harus diingat perlembagaan adalah simbol kemerdekaan. Selagi kita kekalkan perlembagaan bermakna kita mengekalkan kemerdekaan. Namun jika perlembagaan kita lumpuh bermakna tidak ada kemerdekaan dan kedaulatan lagi," tegas beliau.

- BERNAMA 

Share in: