banner-about_0.jpg

Ogos 28th, 2017

KUALA LUMPUR: Kita dapat melihat kehadiran ramai anggota paramedik yang bersedia untuk memberikan bantuan perubatan kepada atlet-atlet di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Lebih 2,000 pegawai kesihatan dan perubatan rasmi KL2017 berkhidmat pada edisi temasya kali ini.

Manakala seramai 1,700 pegawai serta 500 sukarelawan lain turut menyumbang tenaga bagi memastikan kelancaran Sukan Sea yang dihos Malaysia dari 19 hingga 30 Ogos ini. 

Demi keselamatan atlet, pegawai bertugas dan para penyokong yang hadir di lokasi penganjuran dan pertandingan, pegawai-pegawai kesihatan serta perubatan ini telah mula melakukan kerja-kerja saringan sejak hujung tahun lalu. 

Menurut Timbalan Pengarah Jawatankuasa Kesihatan dan Pemantauan, Dr Thaherah Nor Mohd Kassim, mereka telah mengambil inisiatif menjalankan kerja-kerja penyemburan asap di kawasan berisiko tinggi dengan pembiakan nyamuk. 

Bagi Baharudin Baharom, anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kualiti Pemakanan, mereka bertanggungjawab untuk memeriksa operator makanan dan minuman bukan sahaja di kawasan pertandingan malah kawasan di sekitarnya termasuk hotel,  tiga bulan sebelum KL2017 berlangsung. 

Katanya, 431 pegawai bertugas bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyediaan makanan mengikut garis panduan kebersihan dan kesihatan ditetapkan. 

Sementara itu, Noorasiyah Ali daripada Pejabat Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pula berkata semua penyedia dan operator trak makanan turut diselia ketat. 

Setiap katerer dan hotel yang menyediakan makanan untuk kontinjen serta anggota jawatankuasa KL2017 juga dipantau dalam setiap operasi mereka.

Malah menurutnya dalam penganjuran acara sebesar KL2017 ini, terdapat kemungkinan insiden-insiden yang memerlukan perhatian perubatan. 

Maka, dua Pusat Kesihatan Sukan (GMC) disediakan, masing-masing di Institut Sukan Negara Bukit Jalil dan Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, Jalan Fletcher. 

Seramai 13 pakar perubatan sukan, 24 pegawai perubatan, 200 paramedik, jururawat, ahli fisioterapi, farmasi, radiologi, juruteknik makmal serta staf sokongan bersiap siaga di kedua-dua pusat kesihatan tersebut.

Pusat-pusat GMC ini turut dilengkapi makmal, sinar X-ray serta mesin diagnostik ultrasound untuk merawat sebarang kes melibatkan atlet KL2017 serta pegawai bertugas.

Selain itu, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Jabatan Pertahanan Awam turut bersedia untuk memberi bantuan asas serta alat Defibrilator Luaran Automatik (AED) jika berlaku sebarang kes kecemasan.

Pasukan perubatan khas turut disediakan Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh sekiranya berlaku sebarang kes-kes kesihatan yang berisiko tinggi sepanjang penganjuran KL2017. 

Kesemua operasi ini dikawal selia oleh Pusat Operasi Kesihatan Pertandingan (GMOC) yang bertanggungjawab mengurus dan mengawal kerja-kerja menyelamat dan perubatan di temasya ini.

(Artikel ini telah diterjemahkan daripada artikel asal)

Share in: