1Malaysia1Malaysia

Monday, 21 May 2012

 

Rumah Mampu Milik Untuk Golongan Muda Akan Dilancar Jun Atau Julai Ini, Kata PM

Posted in News on Date May 6th, 2011

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) — Kerajaan akan melancarkan program rumah kualiti mampu milik berharga RM220,000 ke bawah bagi membolehkan lebih ramai golongan muda memiliki rumah pada Jun atau Julai ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata program di bawah Skim Rumah Pertamaku (SRP) itu akan dilaksanakan secara kerjasama antara pihak awam dan swasta.

“Kerajaan akan bertanggungjawab menyediakan tapak pembinaan manakala pihak pemaju akan melaksanakan projek-projek ini berdasarkan industrial building system.

“Dan saya kata kalau boleh, (syarikat swasta) jangan ambil untung dari projek ini. Jadikan sebagai corporate social responsibility (CSR),” katanya ketika menjadi jemputan khas program pagi stesen radio Hot.fm di Sri Pentas, di sini pada Jumaat.

Program yang dihoskan juruhebah (DJ) Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran itu turut disiar secara langsung menerusi stesen televisyen 8TV.

Najib berkata usaha mewujudkan rumah di bawah harga RM220,000 adalah berdasarkan komen dalam laman Facebook beliau serta laporan media bahawa amat sukar bagi golongan muda mendapat rumah dalam lingkungan harga tersebut terutama di Lembah Klang.

Di bawah Skim Rumah Pertamaku yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 8 Mac lepas, golongan muda berumur 35 tahun ke bawah dengan gaji bulanan kurang daripada RM3,000 layak membeli rumah berharga RM220,000 ke bawah dengan pinjaman 100 peratus.

Dalam program temu bual selama sejam itu, Perdana Menteri juga diajukan soalan mengenai pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam sejak dilancarkan tahun lepas.

Beliau berkata ia telah menampakkan peningkatan daripada segi kemudahan yang disediakan, dan perubahan lebih ketara hanya akan dapat dilihat dalam masa dua hingga tiga tahun lagi.

Menjawab soalan seorang pemanggil mengenai penggunaan media baru, Najib berkata ia amat bersesuaian dengan persekitaran baru masa kini khasnya bagi berhubung dengan golongan muda.

“Saya ambil keputusan selain menggunakan cara konvensional, saya juga menggunakan kaedah new media kerana dengan kaedah ini saya dapat menyampaikan mesej saya kepada mereka yang menggunakan new media sebagai saluran maklumat yang lebih cepat,” katanya.

Selain mempunyai blog dan akaun Facebook, Najib juga menggunakan Twitter secara aktif dan mempunyai pengikut yang ramai.

Najib berkata kebiasaannya beliau akan mengemas kini status Twitter di sebelah malam di rumah ataupun semasa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Putrajaya setelah semua urusannya selesai.

Selain soalan berkaitan dasar negara, Perdana Menteri juga diajukan soalan santai termasuk ramalan beliau mengenai perlawanan akhir Piala Juara-Juara Eropah antara Barcelona dan Manchester United (MU).

Najib yang merupakan peminat MU berkata beliau mengharapkan kemenangan berpihak kepada pasukan kegemarannya biarpun Barcelona mempunyai barisan pemain yang hebat.

Mengenai cara beliau mengurangkan stres , Najib berkata beliau suka bersukan dan bersenam.

“Sewaktu belajar, saya akan mengajak rakan-rakan bermain bola atau skuasy untuk mengurangkan stres. Sekarang saya pergi ke gim, melakukan senaman ‘treadmill’ dan ‘cross trainer’,” katanya.

Sepanjang temu bual tersebut, lagu-lagu kegemaran Perdana Menteri dimainkan antaranya ‘Kancing Suasa’ oleh R. Azmi, ‘If Tomorrow Never Comes’ oleh Ronan Keating, ‘Kaulah Segalanya’ oleh Ruth Sahayana, dan ‘Nobody’ oleh Wonder Girls.

Najib juga sempat mengulas bahawa beliau gemarkan lagu ‘Kancing Suasa’ kerana lagu itu mendekatkan beliau dengan masyarakat Orang Asli di kawasan Parlimen Pekan yang diwakilinya.

Ketika temu bual itu juga Najib turut meluangkan masa bermain ‘Dam Aji’ dengan DJ Faizal.

Ditanya mengenai rutin hariannya, Najib berkata beliau memulakan harinya dengan bangun untuk bersolat Subuh sebelum sesi membaca akhbar.

“Selepas itu saya akan mandi dan bersarapan dan pergi ke pejabat. Biasanya saya akan sampai di pejabat antara pukul 8 pagi hingga 8.30 pagi,” kata beliau.

Najib berkata beliau akan balik ke rumah selepas habis bekerja antara pukul 6.30 petang dan 7 malam.

Perdana Menteri juga mengambil kesempatan mengucapkan “Selamat Hari Ibu” yang disambut pada hari Ahad, minggu kedua Mei setiap tahun.

“Ibu memainkan peranan sangat, sangat besar. Ia satu hakikat yang kita mesti iktiraf. Kita mesti sayang dan cinta kepada ibu,” katanya.

Najib turut menekankan kepentingan peranan golongan pendidik yang akan menyambut Hari Guru pada 16 Mei dalam mencorak masa depan negara menerusi didikan kepada anak-anak.

“Ini amat penting sebab apa-apa pun, kekuatan negara kita bergantung kepada kualiti insan. Dan ini mesti dilakukan dengan cara bersungguh-sungguh dan tersusun supaya mereka ini dapat mengisi segala aspirasi negara,” katanya.

Sumber : Bernama

Tags: , , ,

|